UCAPAN DASAR PENGERUSI MAJLIS BELIA NEGERI TERENGGANU
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-16 (Tahun 2019)
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Bismillahirrahamanirrahim,Alhamdulillahhirabbil „alamin. Wabihi nastain.
Segala puji kepada Allah SWT Tuhan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Yang saya hormati lagi saya kasihi Sdr Pengerusi Tetap, kita doakan agar Sdr. Pengerusi Tetap diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT,Sdr Timbalan Pengerusi Tetap, Yang saya kasihi, Timbalan Pengerusi , Naib-Naib Pengerusi, Sdr Setiausaha Agung, Sdr Bendahari Kehormat,Penolong Setiausaha Agung, Penolong Bendahari, barisan EXCO Majlis Belia Negeri Terengganu, Pengerusi-Pengerusi Majlis Belia Daerah serta Badan Gabungan Majlis Belia Negeri Terengganu,para perwakilan, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana dengan limpah dan kurniaNya dapatlah kita berkumpul pada hari ini bagi melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Terengganu kali ke 16 pada tahun 2019 ini.
Saya juga hendak mengalu-alukan kehadiran sahabat saya Sdr. Jufitri Joha Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut hadir pada hari ini bersama dengan Encik Mohmad bin Embong, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu merangkap Ex-Officio MBNT yang berbesar hati untuk bersama dengan kita. Tidak dilupakan hero kita di Negeri Terengganu, Encik Ahmad Bukhari Bin Abdul Rahman Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu) yang juga merupakan Ex-Officio MBNT. Selamat datang kerumah kita yang penuh dan sarat dengan nostalgia dan ingatan, bukan batang sebarang batang, batang kaktus memang berduri, bukan datang sebarang datang, datang mengundang sepuluh jari.
Saya tidak berminat untuk bercakap dan berkata-kata politik pada hari ini. Apa yang ingin saya sampaikan, adalah apakah yang patut kita pelajari daripada semua peristiwa yang berlaku pada hari ini. Satu perkara yang paling signifikan yang ingin saya tekankan hari ini ialah cabaran yang akan kita hadapi untuk kita mentadbir pertubuhan belia yang kita sayangi.
1.0 AKTA 668(Pindaan 2019)
Dengan Akta 668 (pindaan 2019) yang mana had umur belia telah diturunkan dari 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun akan memberi kesan kepada kepimpinan belia akan datang.
Apa yang kita perjuangkan adalah untuk adik-adik kita dan bukan untuk kita sekarang. Walaubagaimanapun, pindaan akta ini telah diluluskan dan mahu tidak mahu kita harus mengambil langkah untuk melahirkan pimpinan pelapis yang masak dengan ilmu berpersatuan dan mentadbir pertubuhan belia.. Tetapi sejauh mana telah kita laksanakan tugas itu? Sejauh mana kita pemimpin-pemimpin belia di akar umbi telah berubah? Atau kita masih lagi dengan mentaliti dan pendekatan 64 tahun yang lalu? Sekiranya benar kita sayangkan persatuan kita, belajarlah untuk berubah. Kerana saya khuatir, dengan mentaliti dan pendekatan kita sekarang ini, golongan belia tidak berminat untuk menyertai kita di masa-masa hadapan.
Cuba kita renungkan sejenak, apakah pertubuhan belia yang kita kenali hari ini, sudah cukup dikenali orang ramai diluar sana? Saya yakin dan percaya, masih ramai lagi professional professional muda, lepasan-lepasan universiti mahupun pelajar-pelajar di sekolah-sekolah dalam negara yang belum pernah mendengar apa itu MBNT. Saya kira dengan apa yang berlaku pada hari ini, kita perlu lebih terbuka.
MBNT ini bukan sekadar tempat untuk kita bermegah-megah mempertahankan jawatan. Bukan sekadar tempat untuk kita bermesyuarat sehingga larut malam. Di MBNT ini ada agenda yang kita perjuangkan. MBNT ini tempat untuk kita mengumpulkan segala usaha dan tenaga bagi mengangkat martabat golongan belia di luar sana. Maka, sudah sampai masanya kita ikhlaskan perjuangan kita ini.
Namun percayalah saudara saudari yang saya kasihi, kita kini berada di zaman yang mencabar. Zaman yang unpredictable. Zaman edan! Sudah sampai masanya kita kembali fokus tentang apa yang sepatutnya kita laksanakan dalam MBNT kita ini. Sudah tiba waktunya kita benar-benar mendekati golongan belia di akar umbi, tidak hanya berlegar di kelompok kita sendiri dan tidak berada didalam zon syok sendiri. Kita tidak mahu MBNT ini sekadar menjadi jaguh kampung. Kita mahu MBNT ini menjadi bualan anak-anak muda. Kita mahu anak-anak muda dalam negara akui, sekiranya mereka ingin bercakap tentang isu orang muda, ingin melontar pendapat mengenai hal orang muda, MBNTlah tempatnya. MBNT lah platformnya dan MBNTlah gelanggangnya.
2.0 DEKATI ANAK MUDA. GAYA ANAK MUDA.
Sebelum saya meneruskan ucapan saya pada hari ini, dengan penuh perasaan bangganya saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengerusi-Pengerusi MBD dan Badan Gabungan yang telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing. Saya bersama-sama YB EXCO Belia dan Pengarah JBSNT berkesempatan baru-baru ini menjelajah ke hampir seluruh daerah dalam negeri dalam kita untuk kita sama-sama bersama belia akar umbi dan berkongsi suka dan duka bersama mereka.
Alhamdulillah, Saya berkesempatan hadir melihat sendiri wajah-wajah perjuang-perjuang kita diakar umbi dan saya begitu gembira dan teruja apabila dapat bertemu dan berkumpul beramai-ramai dengan pemimpin-pemimpin belia di akar umbi. Terima kasih saya ucapkan kepada kepimpinan MBD dan Badan Gabungan yang telah bertungkus lumus untuk melaksanakan tanggungjawab berpersatuan ini. Saya percaya kita telah buktikan kepada ROY dan Kementerian Belia & Sukan, yang MBNT ini benar-benar serius dalam berpersatuan. Kita buktikan kepada mereka bahawa pertubuhan belia di Terengganu ini bukan persatuan belia Cap Ayam! Kepada Pengerusi-Pengerusi MBD dan Badan Gabungan yang telah menyerahkan kepimpinan kepada adik-adik yang lebih muda, setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah saya ucapkan. Segala jasa segala bakti segala budi rakan-rakan sekelian, hanya Allah sahajalah yang mampu membalasnya.
3.0 PENGIKTIRAFAN
MBNT dan seluruh pertubuhan belia diiktiraf dan diakui oleh pihak Kerajaan. Hal ini tidak dapat sesiapapun menyangkalnya lagi. Justeru saya ingatkan kepada semua kepimpinan belia, ikhlaskan perjuangan, demi membina sebuah wadah perjuangan MBNT yang baru. Tuan puan sekelian, Sekarang ini apa yang perlu kita laksanakan di masa hadapan, hanyalah sedikit adjustment, agar kita turut diiktiraf dan diakui oleh golongan-golongan muda diluar sana. Seperti yang saya katakan tadi, kita mahu anak-anak muda menjadikan MBNT sebagai pilihan pertama mereka untuk suarakan kehendak dan aspirasi mereka.
4.0 MEDIA KINI
saya ingin menyebut tentang betapa pentingnya penggunaan media sosial di zaman ini.Saya yakin saudara dan saudari akan bersetuju jika saya katakan, betapa pengaruh media sosial memainkan peranan yang besar dalam pembentukan Malaysia Baru pada hari ini. Di zaman ini tidak cukup untuk kita bekerja sahaja. Tetapi, kita juga harus dilihat membuat kerja. Lihat saja bagaimana Facebook, YouTube, Instagram dan Twitter dipergunakan untuk menarik sokongan dan kepercayaan orang ramai. Dengan menggunakan platform-platform media sosial ini, informasi dan maklumat dapat kita sampaikan kepada para belia dengan begitu cepat sekali. Tidak hanya itu, melalui platform-platform ini juga dapat kita ketahui apakah kelemahan dan keburukan yang kita perlu perbaiki. Walaupun terkadang teguran-teguran ini tidak konstruktif dan sekadar mengecam, namun setidak-tidaknya kita dapat bersedia dan merancang sesuatu untuk penambahbaikan gerak kerja kita ini. Selain itu, sekiranya diolah dengan baik, penggunaan media sosial ini juga mampu membuatkan golongan belia terasa dekat dengan kita.Alhamdulillah MBNT kini mempunyai laman –laman media social yang boleh dikongsi bersama semua warga belia di luar sana.
5.0 TERIMA KASIH YAB MB DAN YB EXCO BELIA.
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian. Sebagai pemimpin sebuah persatuan belia, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Terengganu , Dato’ Seri Ahmad Samsuri bin Mkhtar dan YB EXCO Belia,Sukan dan Ngo Negeri Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi bin Wan Abdullah kerana telah menyokong dan mendokong semua pertubuhan belia di seluruh negeri Terengganu. Segala budi dan jasa baik YAB dan YB tidak akan kami lupakan. Bantuan pentadbiran kepada seluruh pertubuhan belia di segenap lapisan telah memberikan nafas baru kepada kami. Ini kerana sejak tahun 2018, MBNT dan semua MBD tidak lagi menerima bantuan pentadbiran dari KBS sebagaimana yg termaktud dalam Akta 668. Tidak mengapalah, apa yang pasti suatu hari nanti beliau pasti akan mengetahui siapa orang-orang BELIA ini!
6.0 YB MENTERI BELIA DAN SUKAN
Sebenarnya, kehadiran seorang menteri muda seperti YB Syed Saddiq juga memberikan harapan baru yang penuh makna buat kita bersama.Ini membuktikan, di era mendatang ini, umur bukan lagi penghalang untuk kita berjaya. Umur bukan penghalang untuk menjadi ketua, umur bukan lagi penghalang untuk kita menyumbang. Sekiranya kita mahu berusaha dan sanggup berkerja keras, kita pasti akan berjaya. Mengulas isu had umur yang dibangkitkan oleh YB Menteri baru-baru ini, hanya satu jawapan saya. Alhamdulillah. Pastinya ucapan syabas dan tahniah ini tidak mampu saya sampaikan satu persatu. Nanti ada pulak yang tersinggung hati dan berkecil hati disini. Setiap seorang daripada saudara dan saudari yang berada dihadapan saya ini, semuanya mempunyai jasa mempunyai budi dan baktinya yang tersendiri. Namun, perkara pokoknya Saudara dan Saudari sekalian, memandangkan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang baru, kita masih belum pasti bagaimanakah pendekatan mereka terhadap persatuan-persatuan belia dalam negara kita. Sekiranya sebelum ini kita sering mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan untuk menjalankan program, kali ini kita harus lebih independent. Sebagai langkah awal, kita adakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ini di Bangunan kita WISMA SERI AMAR untuk langkah penjimatan . Oleh yang demikian, demi kelestarian persatuan belia kita ini, saya merayu kepada saudara dan saudari sekelian perlu lebih berjimat cermat di masa hadapan. Elakkan pembaziran dan kawal perbelanjaan dengan berhemah.
7.0 ROH PERJUANGAN BELIA TERENGGANU.
Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian. Dalam kita bergerak maju menuju ke hadapan, sesekali kita perlu juga untuk menjenguk seketika ke belakang. Bukan untuk mundur semula, tetapi untuk kita fahami semula mengapa kita berada disini. Dan jika kembali menghayati roh perjuangan belia, kita tidak akan berada disini jika demi untuk mengejar jawatan dan kepentingan. Tuan / Puan “Daun mengkuang lidi selaut, Anyaman seni berbilang-bilang ,Budi kita bagaikan selaut, Dihati kita tidak akan hilang.”
Jika kita benar-benar mendalami semangat pengasas-pengasas MBM terdahulu, kita tidak akan bertanya apa yang Pertubuhan belia dapat berikan kepada kita. Malah kita akan bertanya, apa yang dapat aku sumbangkan kepada pertubuhan belia? Apa yang dapat aku sumbangkan buat anak muda dalam negara ku? Apa yang mampu aku berikan untuk agama, bangsa dan negara ini?
8 .0 PENUTUP
Sidang perwakilan yang saya hormati. Akhir kata daripada saya, sekiranya perjuangan kita sudah kita ikhlaskan dan andainya matlamat kita sudah kita tetapkan, apakah lagi yang kita nanti-nantikan? Rintangan pasti ada dimana-mana. Ujian pasti datang dan tanpa diduga. Halangan pasti datang dan menunggu kita. Namun, demi anak muda pewaris agama, pewaris bangsa dan pewaris negara, takkan pernah kita menyerah upaya. Maka ayuh saudara dan saudari semua, kita gamatkan dewan keramat ini, saya hendak dengar suara saudara dan saudari sekelian, ayuh kita bangun dan berjanjilah bersama saya, ayuh kita bangun bangkit pasakkan kekuda kita, ayuh tuan puan kita murnikan niat dihati, kita teguhkan hasrat dijiwa kita. Berjanjilah sama-sama kita perkukuhkan lagi persatuan kita ini! Berjanjilah sama-sama kita nyalakan kembali obor perjuangan bangsa ini! Berjanjilah sama-sama kita pertahankan maruah suci agama kita ini! Berjanjilah sama-sama kita julang tinggi ibu pertiwi, Malaysia nan bertuah ini! Boleh ke tuan puan.(boleh ke tuan puan) “Harimau duduk mencangkung ,Burung merah singgah didahan, Kalau langgar sumpah yang Agung, Tunggu menanti balasan Tuhan.” Hidup MBNT! Hidup MBNT! Hidup MBNT! Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
21 Disember 2019
Amirullah Othman
Comments 1