Pertubuhan Belia Kuala Nerus AKTIF

02.12.19 | Kuala Nerus : Pertubuhan Belia di Daerah Kuala Nerus mencatat sejarah apabila kesemua pertubuhan belia yang memohon Bantuan Pentadbiran & Aktiviti Pertubuhan Belia Negeri Terengganu 2019 diberi Penarafan AKTIF.

Penarafan Aktif yang julung kali diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Belia Negeri Terengganu adalah melalui penarafan yang ketat berdasarkan formula  Mata Merit. Bagi pertubuhan belia berstatus tunggal atau cawangan, 3 nilai penarafan diberikan iaitu Aktif (62 Mata ke atas), Kurang Aktif (56 hingga 61 Mata), Tidak Aktif (55 Mata ke bawah) dan Pertubuhan Belia Baharu (61 Mata Ke bawah).

Penarafan Aktif secara mudahnya diberikan kepada pertubuhan belia yang menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan 2018 pada tahun 2018, Menghantar MYKD (Maklumat Yang Kena Diberi) kepada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) tanpa kuiri, melaksanakan Program dan Aktiviti sekurang-kurangnya 3 kali setahun dan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa sekurang-kurangnya 3 kali setahun.

Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran & Aktiviti Pertubuhan Belia Negeri Terengganu 2019 Peringkat Daerah Kuala Nerus disempurnakan oleh Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin Abdul Karim Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Nerus YM Tengku Saifuddin Tengku Jalal mewakili seluruh kepimpinan pertubuhan belia di Daerah Kuala Nerus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana meneruskan bantuan kewangan kepada pertubuhan belia di seluruh negeri Terengganu. beliau turut menyatakan bahawa bantuan sebegini amat penting kepada pertubuhan belia dalam penganjuran aktiviti. Semakin banyak aktiviti yang dibuat, semakin kuranglah pembabitan belia dalam gejala yang tidak sihat seperti lepak, rempit dan jenayah.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Sdr Shahrul Azwan Mohamad@Endut itu dihadiri oleh semua pertubuhan belia di Daerah Kuala Nerus. Program ini juga merupakan program yang julung kali dilaksanakan oleh MBD Kuala Nerus setelah penubuhannya diluluskan oleh ROY.

Tengku Saifuddin juga bagi mewakili seluruh kepimpinan Majlis Belia Derah Kuala Nerus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, EXCO Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu kerana meneruskan bantuan kewangan ini kepada Majlis Belia Daerah. Peruntukan ini penting bagi Majlis Belia Daerah kerana peruntukan kewangan kepada Majlis Belia Daerah dan negeri tidak lagi diberikan sejak tahun 2018 oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia. Peruntukan ini penting bagi menjalankan fungsi-fungsi penubuhan majlis belia daerah sebagai badan induk pertubuhan belia.

MBD Kuala Nerus baru sahaja di tubuhkan selaras dengan penubuhan daerah baharu Kuala Nerus. Oleh itu, pentadbiran dan pengurusan MBD masih lagi tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna berikutan peruntukan KBS tidak lagi diberikan. Apatah lagi MBD Kuala Nerus satu-satunya MBD yang tidak mempunyai pejabat dan kakitangan bagi menjalankan fungsinya. Terima Kasih Kerajaan Negeri Terengganu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *