Belia Harus Kenang Budi

14.12.19 | Kemaman :  ” Warga belia harus kenang budi siapa yang membantu belia dan pertubuhan belia. Siapa yang senantiasa membantu golongan belia dan memberi perhatian terhadap keperluan belia. Belia juga perlu ingat siapa yang meminggirkan belia dan siapa yang menolak peranan belia. Siapa yang telah meruntuhkan institusi belia. Perlu ingat siapa yang telah menyekat dana belia” Kata Pengerusi Majlis Belia Daerah Kemaman iaitu Sdr Mohd Izham Ahmad. Beliau turut memaklumkan bahawa MBD Kemaman kini terpaksa berpindah dan menyewa di premis baharu bermula Januari ini. “Walaupun terpaksa menyewa, bekerja lebih kuat untuk kos operasi yang tentunya semakin meningkat setelah penyewaan ini, namun ianya perlu juga dilakukan demi membangunkan warga belia khususnya di Daerah Kemaman. Dengan premis baharu di tengah pusat bandar dan berhadapan sekolah menengah, diharapkan ianya mempu memberikan impak positif dalam memperjuangkan agenda belia”.

Belia-belia di Daerah Kemaman menyambut baik Bantuan Pentadbiran & Aktiviti Pertubuhan Belia yang terus disalurkan untuk menggerakkan aktiviti belia walaupun  bantuan tersebut berkurangan kerana kekangan dana. “Walaupun sedikit pemberian bantuan pada tahun ini, tapi kami tetap bersyukur kerana Kerajaan Negeri Terengganu terus menyalurkan bantuan agar pertubuhan belia tidak lesu dan mampu melaksanakan aktiviti dan program. Inilah contoh kerajaan yang terbaik kerana sentiasa menyokong aktiviti golongan muda” kata salah seorang pemimpin belia yang bernama Che Wan Mohd Zairodi Che Wan Jusoh.

Semua pertubuhan belia berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan kewangan pada tahun ini yang diserahkan melalui Tabung Pembangunan Belia Daerah Kemaman yang disampaikan oleh Sdr Amirullah Othman, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu.

Sdr Amirullah Othman dalam ucapannya menyatakan bahawa bantuan kewangan ini bukanlah datang bergolek, ianya memerlukan usaha dan kerja kuat semua pihak dalam memastikan bantuan kewangan ini diterima oleh semua pertubuhan belia yang memohon. “Terima kasih tidak terhingga kepada YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, EXCO Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu yang amat mesra belia dan memahami keperitan dan kesusahan para belia dengan meluluskan peruntukan kewangan ini. Terima kasih juga buat YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr. Samsuri Mokhtar”. Beliau juga mengharapkan pemimpin belia menggunakan dana ini sebaiknya dalam menggerakan pertubuhan belia dan membanteras gejala sosial dikalangan belia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *